GiLoCatur telah menutup undian atau "Poll" bagi venue atau lokasi pilihan Kejohanan Catur NAG. Semenjak ia dibuka bermula 7 Mac lalu sehingga hari ini, seramai 75 responden menyuarakan pilihan mereka. Satu jumlah yang boleh dikatakan bagus. Diharap lebih ramai komuniti chess Malaysia yang terlibat dalam poll sebegini di masa hadapan. Pemain-pemain catur di negara ini perlu dididik untuk berani bersuara dan prihatin dengan isu-isu semasa berkaitan sukan catur. Tetapi pendapat dan pandangan perlu disuarakan mengikut norma-norma dan bersantun sesuai dengan adat ketimuran kita.
Daripada keputusan poll seperti di atas, amat jelas lokasi pilihan adalah di Kuala Lumpur. Seramai 19 responden atau 25% membuat pilihan tersebut. Sementara Selangor menjadi lokasi pilihan kedua setelah berjaya mendapat 16 undi bersamaan 21%. Ini bermakna, jika dicampurkan kedua-duanya, 46% memilih NAG diadakan di Lembah Kelang. MCF perlu perihatin dengan fakta ini. Ada tiga lokasi yang lansung tidak mendapat sebarang undian iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak.
Agak memeranjatkan juga bagi GiLoCatur, Melaka yang merupakan satu lokasi pelancongan terkenal tidak mendapat sebarang undian. Mungkinkah dek kerana Persatuan Catur Negeri yang tidak aktif? Mengapa ia tidak aktif? Adakah orang-orang di Negeri Melaka tidak berminat main catur? Diharap orang-orang Melaka tidak berdiam diri tentang hal ini. GiLoCatur yakin jika diutarakan kepada Ketua Menteri, Insya Allah, beliau akan memberi sokongan padu.
Begitu juga dengan YB Datuk Idris Harun, ahli parlimen Tangga Batu yang merupakan aktivis belia dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Insya Allah, beliau akan memberi sokongan untuk aktiviti berfaedah seperti catur. GiLoCatur amat berharap catur akan berkembang dan aktif di Melaka dan N9. Sdra Zullghafari telah memulakan satu usaha mengadakan "chess sparring" di Melaka. Diharap ia akan diadakan setiap minggu atau sekurang2nya 2 kali sebulan. Kepada pelajar2 dan kelab catur GBS (SMK Gajah Berang) diharap dapat menghidupkan sukan catur di Melaka. Begitu juga dengan "Ustaz" Zainal. GiLoCatur dapat merasakan sambutan hangat di N9 ketika berada di Pertandingan Catur Seremban Parade baru-baru ini.
GiLoCatur telah mulakan Poll yang baru iaitu berkenaan Kejohanan Catur Melayu Tertutup. Seperti yang pernah GiLoCatur tulis dalam laman blog ini berkenaan satu Kejohanan Catur Melayu Tertutup yang dirancang untuk diadakan pertengahan tahun ini oleh Kelab Catur Jaffolea, ada pendapat yang mengatakan kejohanan hanya untuk sesuatu kaum sebegini tidak wajar diadakan kerana ia bercanggah dengan konsep 1MALAYSIA. Tetapi sebahagian pula berpendapat selama ini memang ada kejohanan sukan untuk sesuatu kaum tetapi tidak pula mendapat sebarang bantahan seperti Kejohanan Bola Sepak Piala Bardhan untuk kaum India, Kejohanan Ping Pong Melayu Kebangsaan dan Kejohanan Bola Keranjang Piala KLBA untuk kaum bukan Cina.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, di sini GiLoCatur buka satu POLL berkenaan kejohanan tersebut untuk mengetahui pendapat dan pandangan semua peminat2 catur di negara ini. Samada bersetuju ia diadakan atau tidak? GiLoCatur cukup yakin semua dapat membuat pilihan berdasarkan kematangan dan secara rasional bukan mengikut sentimen perasaan atau emosi. Diharap lebih ramai warga komuniti catur Malaysia mengambil bahagian. SUARAKAN PILIHAN ANDA!
1 comment:
Ak x stju dgn ptdingn melayu shj. Ptdingn yg dirjk olh gilocatur adlh utk memupuk kaum2 lain utk menyertai sukan tsbt. Tp catur mmg dah terkenal dlm glgn melayu. Apa mtlamat dlm membuat ptandingn ni? Ini hnya akn memulau kaum2 lain dn mengundng kmrhan mrk.
Post a Comment