Thursday, January 7, 2010

RAYUAN CATUR MSSM 2010


GiLoCatur siarkan luahan hati seorang bapa kepada 4 orang anak yang bergiat aktif dalam sukan catur berkenaan isu Catur yang digugurkan dari kalendar MSSM Tahun 2010. Luahan beliau juga merupakan luahan sebahagian ibubapa di negara ini termasuklah GiLoCatur yang ketiga-tiga orang anak juga aktif dan terlibat dalam sukan catur. Diharap luahan hati kami didengari dan di ambil perhatian oleh pihak-pihak yang berkenaan. Kami juga ingin menyumbang jasa kepada negara seperti ibubapa Dato' Nicole David yang mengharumkan nama negara dalam sukan skuash di persada dunia.BANTULAH KAMI!



Adalah amat menyedihkan dan mengecewakan apabila sukan catur digugurkan daripada acara di kejohanan tahunan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) 2010. Setelah acara ini kian mendapat perhatian ramai khususnya daripada golongan pelajar, kini catur kembali menjadi ‘kambing hitam’ (scapegoat) di atas sebab dan alasan yang tidak jelas dan tidak menepati slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Setelah sekian lama catur telah berjaya membuktikan bahawa ianya adalah ‘mind-related sport’ dan berupaya membantu kecemerlangan akademik seseorang pelajar hingga ke IPT, kini mereka terpaksa menelan kepahitan sekali lagi ekoran ketiadaan pembabitan dalam bidang ko-korikulum seandainya catur tidak segera dikembalikan ke tempatnya.

Ramai para ibubapa telah menjadikan sukan catur sebagai bidang pilihan ko-kurikulum bagi anak anak mereka diatas pelbagai alasan dan sebab, antaranya saiz fizikal dan tumpuan, disamping catur amat mudah dimainkan walau dimana saja, juga memadai dengan peruntukan kewangan yang sedikit dan mudah dipelajari.

Catur juga sebenarnya adalah sukan yang dimainkan di seluruh dunia dan ianya juga diperakui keujudan dan ‘ketulenannya’ hingga di Sukan Sea, Sukan Asia, Sukan Dunia mahupun keperingkat Olympiad di samping kejohanan lain di peringkat dunia. Banyak Negara telah menjadikan catur sebagai mata pelajaran didalam bidang persekolahan di Negara mereka dan tidak hairan lah kenapa Negara Negara lain telah mampu melahirkan jaguhan dunia, Grand Master dan sebagainya. Negara berkonflik seperti Iran, Iraq, Palestin mahupun Negara yang ‘kelihatan’ lebih tidak stabil ekonominya seperti Indonesia, Vietnam, Filipina, Bangladesh, Afghanistan dan puluhan Negara Eropah lain telah berjaya melahirkan jaguhan dunia serta Grand Master manakala kita masih belum punyai nya walaupun seorang, masih ketandusan hingga kini. Dimanakah silapnya?

Catur sepatutnya dilihat, dipraktikan dan dijadikan sukan utama kearah matlamat integrasi nasional kerana disertai oleh semua kaum di dalam Negara ini, tanpa mengira perbezaan kaum, agama, umur, kedudukan taraf hidup, fizikal dan sebagainya. TIADA SATU PUN sukan lain yang mampu berada di tahap ‘keistimewaan’ catur ini. Apa tidaknya, adakah wujud cabang sukan lain yang boleh menemukan seorang kanak-kanak berumur 8 atau pun 10 tahun dengan seseorang yang berumur melebihi 20 tahun dan kanak-kanak ini berupaya menang? Juga adakah kita berpeluang melihat perempuan berjaya mengalahkan lelaki didalam sesuatu pertandingan acara sukan rasmi melainkan catur? Juga pernahkah kita melihat golongan orang kurang upaya walaupun golongan cacat penglihatan bertanding menentang mereka yang celik melainkan di dalam acara catur?

Jawapannya sudah pasti TIDAK, kerana hanya catur yang benar benar mampu dan berupaya menyatukan semua golongan ini, yang miskin berupaya mengalahkan yang kaya, yang perempuan berjaya mengalahkan lelaki, yang kecil berjaya mengalahkan yang lebih dewasa, yang cacat berjaya mengalahkan mereka yang sempurna, jadi segala-galanya ada didalam catur, ditambah pula dengan kos yang amat kecil dan murah untuk menyertainya, tidak seperti kebanyakkan sukan lain yang ‘diangkat’ ketahap yang lebih tinggi yang bukan sahaja memerlukan komitmen malahan perbelanjaan yang amat tinggi.

Mengikut fakta, sukan catur ini pernah ‘diharamkan’ daripada kalendar MSSM pada tahun 1998 diatas sebab sebab tertentu hingga lah di hidupkan kembali pada edisi 2004 di Labuan, dan pengguguran pada kali ini adalah dirasakan amat perit sekali memandangkan sukan ini telah berjaya menarik minat dan komitmen kian ramai pelajar dan ibubapa hingga anak anak mereka berjaya hingga ke peringkat Kejohanan Remaja Dunia (World Youth Chess Championship).

Bermula dengan skuad ke Remaja Dunia di Turki pada 2007 dimana seorang peserta kita telah berjaya mendapat tempat keempat dunia dan dua lagi berjaya menempatkan dirinya di kalangan kelompok dua puluh terbaik dunia, dan diikuti pencapaian pada Remaja Dunia 2008 di Vietnam dengan dua orang peserta kita berjaya pada kedudukan dua puluh terbaik dunia, dan yang terbaru pada edisi 2009 di Turki, ramai yang langsung tidak pernah tahu bahawa ada anak Malaysia yang sentiasa berada di kelompok atas dalam kejohanan tersebut dan mengalahkan peserta peserta handalan dunia yang lain dan berjaya berada dalam kelompok lima belas terbaik dunia.

Juga ada pelajar Malaysia yang berjaya menawan Singapore Challenge, Asean Age-Group di Vietnam dan beberapa kejohanan antarabangsa di tanahair. Bersesuaian dengan peningkatan demi peningkatan ini saya berasakan telah tiba masanya kerajaan memberikan peluang agar catur ini dimasukan kedalam takwim MSN maupun KKBS diperingkat remaja khususnya, tapi apa yang mereka terima pada hari ini adalah sebaliknya malah amat menyedihkan apabila catur digugurkan daripada MSSM, belum pun sempat menjengah pintu MSN ataupun KKBS.

Matlamat merealisasikan impian mencari ‘Grand Master’ pertama Negara kini seolah olah tanpa penghujung nya. Siapa yang sepatutnya membantu agar matlamat ini segera di realisasikan? Pentas MSSM sepatutnya di gunakan sebagai tapak ke arah matlamat ini.

Persekutuan Catur Malaysia juga seharusnya dapat membantu agar catur dapat dimasukan semula kedalam kalendar MSSM dan diharap Presidennya, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan kabinetnya dapat membantu apatah lagi Tan Sri Ramli adalah mantan menteri kabinet yang setentunya punyai banyak ‘link’, juga kepada pihak yang berwajib di Kementerian Pelajaran, mungkin Pengarah nya, begitu juga dengan Menteri Pelajaran yang baru yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan paling perlu agar YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dapat membantu agar catur ini dikembalikan segera ke tempat yang sepatutnya dan marilah kita sama sama menjadikannya sukan perpaduan rakyat kearah integrasi nasional di samping menghayati dan menunaikan maksud “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dan juga agar slogan ‘Malaysia Boleh’ dapat dimanfaatkan sepenuhnya.


Kepada mereka diatas, saya ajukan beberapa persoalan ini :

Kepada pelajar yang menjadikan catur sebagai target 10% ko-kurikulum, mereka akan kehilangan hak kemasukan ke SBP mahu pun IPT kerana tiada bidang lain yang bersesuaian dengan fizikal mereka. Apakah jaminan dan nasib mereka?

Seandainya KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia) masih memutuskan untuk ‘menggantung’ catur ini di atas masalah bajet ataupun sebaliknya, apakah KPM atau pun pihak kerajaan sendiri dapat meluluskan catur ini dimasukan semula kedalam MSSM sekiranya ada pihak lain berjaya mendapatkan penajaan?


Kesimpulannya, CATUR AMAT PERLU di masukkan kembali kedalam MSSM. Kementerian dan pihak pihak lain yang berwajib harus sama sama memikirkan bagaimana kah caranya untuk merealisasikan misi nasional ini.

Apa yang saya khuatirkan ‘tsunami catur’ ini akan menjangkiti dan merebak hingga ke peringkat bawahan seperti MSS Negeri dan Daerah. Jika ini berlaku, adalah di bimbangi ‘edah’ darurat nya akan lebih panjang dan dahsyat daripada musim suram akibat pengharaman terdahulu yakni dari 1998 hingga 2003. Cukuplah penderitaan selama enam tahun sebelumnya kita jadikan pedoman dan diharap agar semua pihak dapat mengambil iktibar daripadanya.


“ KEMBALI KAN CATUR KE MSSM! “

“ KEMBALI KAN CATUR KE MSSM! “

“ KEMBALI KAN CATUR KE MSSM !“


Ikhlas,
Azhar Mohd Said
Selangor
7 Jan 2010

2 comments:

Anonymous said...

OMG I cant believe it... played against your son last year at MSSM.... its the only chess competition i can go to since i have no means of transportation. oh my god i pray it isnt removed.

Anonymous said...

kami sokong 100% pendapat saudara Azhar. Sukan catur sememangnya sukan yang mencabar daya intelek pelajar dan membentuk daya fokus murid terhadap setiap tindakan yang mereka ambil. Kembalikan martabat sukan catur di arena sukan Malaysia.