Nak tahu tentang sejarah "blogging" GiLoCatur?
GiLoCatur ni salah satu hobinya ialah "M"enulis atau Writing kata orang putihnya. Entah kenapa memang GiLoCatur amat minat menulis. Sewaktu kanak-kanak pernah menghasilkan beberapa buah cerpen, tetapi sayang entah ke mana nukilan tersebut. al-maklum komputer belum canggih ketika itu ... malahan belum betul-betul bertapak di Malaysia pun pada ketika itu. Juga jangan "terkezut" banyak juga sajak-sajak yang telah dihasilkan. Tetapi GiLoCatur bukanlah seorang penyajak yang hebat seperti A Samad Said, Usman Awang dan Zahari Hasib yang menjadi idola. Pernah juga sajak-sajak tersebut dipaparkan dalam laman web peribadi pada suatu ketika dahulu. Ada juga terdetik di hati untuk meng"antalogi"kan sajak-sajak tersebut, tetapi lihatlah bagaimana nanti ...
Laman blog pertama GiLoCatur bertapak di
friendster -
http://domo68.blog.friendster.com/Blog tersebut diberi nama "Jurnal SAHALASB - Wakdan Anak Kampau Suku Domo".
SAHALASB merupakan nama pena GiLoCatur Mudah sahaja maksudnya. Ia adalah singkatan nama penuh GiLoCatur iaitu
SAleh
Haji
Abdul
LAtif
Sabak
Bernam.
Wakdan bermakna saya dalam bahasa Orang Kampar. Manakala suku
Domo merupakan salah satu suku orang Kampar. Tiga suku yang lain ialah
Piliang,
Melayu dan
Cheniago. Kesukuan orang Kampar adalah mengikut susur galur emak. Ibu GiLoCatur adalah dari suku
Domo, ini bermakna ke semua adik-beradik GiLoCatur juga suku yang sama. Sementara bapa GiLoCatur pula bersukukan
Piliang. Itulah sebabnya anak perempuan sangat penting bagi orang Kampar atau Kampau dalam dialek kami iaitu untuk meneruskan tradisi dan zuriat kesukuan. Memandangkan isteri GiLoCatur juga orang Kampar dan dia dari suku
Piliang, maka ketiga-ketiga anak GiLoCatur, Fikri, Anis Fariha dan Fahim Al-Faqeh juga mewarisi suku ibu mereka. Yang penting sekali, Anis sebagai anak perempuan akan mewariskan kesukuannya kepada anak-anak beliau. Sementara
domo68 adalah kombinasi suku dan tahun kelahiran GiLoCatur.
Laman blog pertama GiLoCatur tersebut memiliki entry dari bulan Disember 2006 sehingga November 2007. Laman blog tersebut ditulis dalam Bahasa Melayu. Sewaktu dalam tempoh tersebut, GiLoCatur berjaya menulis beberapa buah sajak. Di bawah ini, GiLoCatur perturunkan semula sajak-sajak tersebut untuk dikongsi bersama pembaca-pembaca budiman semua.
Sajak 1 - LONDON ( Link )
London,
Kau sebuah kota hebat
Sesak dan padat
Warga pendudukmu bersendat-sendat
Berjalan kaki, berkereta, menaiki bas ke pejabat
Mahu sampai cepat
Tepati masa menjadi adat
London,
Namamu gah seantero dunia
Pelbagai cerita dan peristiwa
Pelbagai fesyen diperaga
Pelbagai ragam dan resam manusia
Pelbagai kisah suka duka
Insan miskin dan juga kaya
Yang miskin rempat merata
Yang kaya seronok berpesta
London,
Kau menjadi saksi
Pelbagai perjanjian dimeterai
Pelbagai persidangan dirasmi
Pelbagai pertandingan diadili
Pelbagai isu diteliti
London,
Sesungguhnya aku amat bertuah
Berkesempatan aku untuk menyinggah
Kota idaman semua mahu menjengah
Tersemat pengalaman yang indah-indah
SAHALASB
SHAH ALAM
27 FEB 2007, 10:10AM
Tatkala usia semakin meningkat
Tatkala umur semakin singkat
Tatkala uban semakin memutih
Tatkala badan semakin membongkok
Tatkala gigi semakin mereput
Tatkala kulit semakin melendut
Tatkala mata semakin rabun
Tatkala telinga semakin pekak
Kita semakin jauh … jauh perjalanan
Kita semakin banyak … banyak kenangan
Kita semakin faham … faham erti kehidupan
Kita semakin mengerti … mengerti kepayahan
Kita semakin mengejar … mengejar kebesaran
Kita semakin memburu … memburu keagungan
Kita semakin kaya … kaya pengalaman
Kita semakin miskin … miskin pengertian
Kita semakin ghairah … ghairah pada kebendaan
Kita semakin seronok … seronok pada kebebasan
Kita semakin pasrah … pasrah pada kegawatan
Kita semakin cemburu … cemburu pada kesibukan
Kita semakin sayang … sayang pada kemewahan
Kita semakin kasih … kasih pada kemuliaan
Kita semakin suka … suka pada kejayaan
Kita semakin benci … benci pada kepayahan
Kita semakin resah … resah pada kebenaran
Kita semakin gundah … gundah pada kejujuran
Kita semakin leka … leka pada hiburan
Kita semakin alpa … alpa duniawi
Kita semakin lupa … lupa ukhrowi
Kita semakin kesuntukan … kesuntukan masa
Kita semakin hampir … hampir pada kematian
Justeru itu
Janganlah kita membuang masa
Usahlah kita ditinggalkan masa
Biarlah kita memburu masa
Wajarlah kita memanafaatkan masa
Haruslah kita mencemburui masa
Masa itu emas
Demi masa
Sesungguhnya …
manusia di dalam kerugian
SAHALASB
Shah Alam
14 Feb 2007, 2:00 pagi
Sajak 3 - KAU SEORANG GEISHA ( Link )
Kau seorang Geisha
Tersohor dan ternama
di sebuah negara yang kaya budaya
di sebuah negara yang penuh rahsia
Kau seorang Geisha
Terjebak tanpa kau pinta
dek kerana kemiskinan orang tua
dek kerana tiada upaya
Kau seorang Geisha
pengorbanan demi pengorbanan datang menduga
cabaran demi cabaran datang menjelma
ranjau kehidupanmu penuh warna
Kau seorang Geisha
Chiyo, namamu diberi keluarga
Sayuri, namamu diberi Mameha
derita dan tangismu di Okiya
Hatsumomo sering mendera
Puan Nitta hanya tahu berkira
Kau seorang Geisha
semangatmu kembali membara
selepas satu pertemuan tak diduga
Tuan Pengerusi menyapapu manja
usai sudah perasaan kecewa
lenyap sudah perasaan gulana
dek kerana kuasa cinta
kisahmu di daerah Gion pun bermula
Kau seorang Geisha
aku terpegun dan terpesona
kau berperang bagai seorang tentera
di sebuah medan peperangan bernama jiwa
jiwa bergolak jiwa lara
kau berpencak bagai seorang panglima
di sebuah gelanggang bernama minda
minda runsing minda gelora
Wahai seorang Geisha
perjalanan hidupmu yang berliku dikongsi sama
pelayaran cintamu yang berombak dibaca semua
pengorbanan dirimu yang beronak bukan lagi rahsia
noktah kehidupanmu sudah tiba
damailah hendaknya kau di alam sana
SAHALASB
SHAH ALAM - 5 Feb 2007
Kemudian di sepanjang tahun 2008, GiLoCatur beralih pula ke Googlepages. Tetapi fokus atau topik kali ini telah berubah dari semata-mata jurnal yang tidak tertumpu kepada sesuatu topik, GiLoCatur telah memulakan blog catur atau chess. Kenapa ini berlaku? Ia adalah kerana pada ketika itu GiLoCatur sudah mula aktif dengan aktiviti catur anak-anak. Selain laman catur peribadi dan untuk keluarga, GiLoCatur juga telah bina sebuah laman blog untuk Kelab Catur SKBJ di mana anak-anak aktif menganggotai.
Kurang dari setahun kemudian, GiLoCatur telah berubah haluan pula ke blogspot.com. Ini adalah kerana ia lebih mudah untuk mengemaskini entry dan wajah blog lebih cantik dan menarik. GiLoCatur mendapati pada ketika itu blogspot sangat popular dan digemari ramai para bloggers di seluruh dunia dan juga Malaysia.
Kenapa nama GiLoCatur? Satu identiti Melayu Kampar yang sesuai menggambarkan tentang empunya diri. Ia menjelaskan tentang kefanatikan terhadap permainan dan sukan catur. Alhamdulillah, pelawat-pelawat blog GiLoCatur semakin bertambah dan telah melepasi angka 25,000 semenjak mula direkodkan daripada 9 Oktober 2008. Bukan mudah untuk mencapai ke tahap tersebut bagi sebuah klasifikasi yakni catur yang tidak popular dan komuniti yang kecil di negara ini. Dengan rendah diri, GiLoCatur mengucapkan terima kasih kepada semua pelawat-pelawat dan pembaca budiman. Teruskan sokongan anda semua. Sementara blog SKBJ Chess Club pula telah mencatatkan sejumlah 2000 pelawat semenjak 28 September 2008.
Laman blog khas buat Kelab Catur SKBJ
GiLoCatur juga berasa sangat gembira kerana semakin ramai blogger baru terutamanya berkaitan catur muncul. Ini merupakan satu perkembangan yang sihat dan positif. GiLoCatur ingin berkongsi dengan semua 22 alasan untuk anda menjadi seorang blogger.
No comments:
Post a Comment