Thursday, July 23, 2009

GiLoCatur di ASAT 2009


Pada hujung minggu ini, GiLoCatur akan berkampung di Hotel Maluri, Kuala Lumpur. Ini adalah kerana Fikri, anak sulung GiLocatur, akan mewakili negeri Selangor dalam acara catur Sekolah Menengah Lelaki pada Karnival Anugerah Seri Asrama terbilang (ASAT) 2009 yang dijadualkan dari 24hb (Jumaat) hingga 28hb (Selasa). Pertandingan akan diadakan pada hari sabtu dan Ahad. Format untuk acara catur ialah 5 pusingan dengan kawalan masa selama 90 minit seorang. Kepada yang berminat untuk mengikuti berita-berita dan info tentang Karnival ASAT tersebut, GiLoCatur telah memulakan satu projek "coverage" di laman blog http://asat2009.blogspot.com/. Sudi-sudikan melawat laman blog ini.

Maka dengan itu, anak-anak GiLoCatur tidak dapat menyertai KL Young Talent di OUG Shopping complex pada hujung minggu ini. Sementara Anis dan adiknya Fahim pula akan terlibat dengan Pertandingan Catur Tertutup SKBJ pada hari Sabtu. Apatah pula mem GiLoCatur ada aktiviti di sekolah pada hari Sabtu tersebut.

GiLoCatur amat berharap juga jika anak-anak dapat menyertai KL Young Talent tersebut kerana tawaran-tawaran yang amat menarik terutamanya "12 weekend training session throughout the year". Tapi tak mengapa, mungkin anak-anak GiLoCatur boleh sertai di pertandingan-pertandingan akan datang. Bagi GiLoCatur, tawaran seumpama ini sangat penting dan menarik jika inginkan anak-anak lebih maju dan serius dalam catur. Apatah lagi jika ada cita-cita untuk mendapatkan gelaran tertinggi iaitu GM atau Grandmaster.

Sebagai contoh, GM Nguyen Ngoc Truong Son, "chess prodigy" Vietnam telah dihantar belajar dan training selama beberapa tahun di sebuah sekolah catur di Hungary. Sebuah syarikat tempatan Vietnam telah memberi dana dan menaja perbelanjaan GM Son yang merupakan di antara yang termuda mendapat gelaran tersebut. Klik di sini untuk cerita lanjut.

Justeru itu, GiLoCatur berpendapat jika Malaysia ingin melahirkan GM dan WGM, kita juga perlu menghantar "chess prodigy" berlatih di luar negara. Apakah tidak mungkin syarikat-syarikat tempatan seperti TNB, Telekom, dan sebagainya boleh dan mampu menaja mereka. Kita tidak kekurangan "chess prodigy". Sebagai contoh - Yeoh Li Tian yang pernah mendapat tempat keempat Bawah 8 Tahun di Turki, Amier Hamzah dan Subramaniam Sivanesan bagi lelaki dan WFM Najiha, WCM Nabila, NM Tan Li Ting, dan Nithyalaksmi bagi perempuan. (sekadar memberi contoh beberapa nama)

Jika Malaysia mampu untuk menghantar atlit-atlit dari beberapa acara sukan yang lain, sudah pasti Malaysia juga pasti BOLEH menghantar pemain-pemain catur berbakat dan berpotensi untuk berlatih di luar negara seperti di Rusia dan Hungary yang terkenal dengan sekolah caturnya. Justeru itu, kepada semua yang terlibat dalam industri catur harus bersatu dan menggembeling tenaga ke arah usaha tersebut.

Meminjam kata sahabat GiLoCatur Ng6, "MARI KITA CARI GM!"

No comments: