Keletah Fahim bersama datuk dan 'uwo'nya.
Fikri bersalam raya dengan datuknya.
Anak-anak bandar, Fahim dan Ezzah, di hadapan bendang.
Fikri dan Anis bersama sepupu mereka Ezzah.
1 Syawal pada tahun ini, 2008, jatuh pada 1 Oktober bersamaan hari Rabu. Setelah menunaikan solat sunat Aidil Fitri di surau Pekan Simpang 5, acara maaf bermaafan seluruh ahli keluarga pun berlansung. Pada tahun ini aku sekeluarga berpakaian sedondon warna keungu-unguan. Anak-anakku bersama-sama sepupu-sepupu mereka gembira mendapat duit raya dari datuk, 'uwo' panggilan nenek di kalangan kami orang-orang Kampar, pakcik dan makcik mereka.
Sesudah itu kami ke rumah 'uwo' isteriku atau moyang bagi anak-anakku. Rumah beliau berada di kawasan sawah padi atau lebih dikenali 'bendang' di kalangan orang-orang tempatan. Maka bertemu pula anak-anakku dengan dua pupu- dua pupu mereka. Bertemu bukan selalu, hanya setahun sekali. Begitulah adat berziarah di bulan Syawal yang seharusnya terus diamalkan.
Pada raya kedua, aku dan kedua-dua anak lelakiku, Fikri dan Fahim, menyertai rombongan 'baraan' raya dari rumah ke rumah. Lebih 20 buah rumah yang diziarahi. Kepada mereka yang tidak pernah mendengar perkataan ini, perkataan 'baraan' berasal dari bahasa Jawa. Ia bermaksud kunjungan atau ziarah ahli kariah kampung beramai-ramai ke rumah-rumah. Sebelum menjamu selera bacaan doa akan diaminkan beramai-ramai. Ini merupakan satu budaya masyarakat kita yang perlu dikekalkan turun menurun. Ia satu budaya yang bersesuaian dengan ajaran Islam itu sendiri. Bagi kanak-kanak, apa yang paling menggembirakan mereka ialah ketika mendapat 'ang pow' raya.
Di kampungku sendiri iaitu di Jalan Sultan Sungai Tengar, aku juga menyertai acara baraan ini dari aku berusia kanak-kanak sehinggalah ke zaman bujangku. Sewaktu kanak-kanak, kami hanya menaiki basikal. Setelah remaja kami bermotosikal pula. Sungguh indah pengalaman tersebut. Begitulah budaya manis di kampung yang telah semakin luput di bandar-bandar.
Dalam menyambut Syawal di kampung, aku dan anak-anak tidak lupa untuk praktis catur di waktu senggang. Apatah lagi banyak pertandingan catur dalam bulan Oktober ini. Semoga kami akan lebih berjaya nanti.
No comments:
Post a Comment