Tuesday, October 7, 2008

Gejubus

Mungkin ramai yang tidak pernah mendengar perkataan 'gejubus'. Bagi aku yang membesar di kampung berjirankan orang-orang Jawa perkataan ini sememangnya sudah sinonim. Gejubus bermaksud menyediakan makanan secara bergotong royong. Sewaktu aku di kampung dahulu terutamanya semasa remaja, aku memang selalu bersama-sama jiran sekampung bergejubus bila ada kenduri-kendara. 

Kenapa aku bercerita pasal gejubus hari ini? Sebab aku baru saja terbaca di Sinar Harian tentang aktiviti tersebut di Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sabak Bernam. BNO merupakan sebuah pekan kecil dan perkampungan yang tidak jauh dari kampungku Sungai Tengar. Masih segar dalam ingatan ketika aku masih bersekolah rendah dan berumur 11 tahun, aku dan beberapa rakan sekampung pergi ke pantai BNO dengan berbasikal. Kami berbasikal sejauh kira-kira 5 kilometer. 10 kilometer untuk pergi dan balik.  Pada ketika itu, di hujung tahun 1970an, memang tidak banyak kereta di jalanraya. Apatah lagi kampungku itu berada di penghujung sebelah utara negeri Selangor.

Yang menariknya ialah apa aktiviti kami di pantai BNO itu. Sebenarnya kami ke sana untuk mencari kerang. Ya, memang betul mencari kerang. Di zaman kanak-kanakku aku selalu berbasikal berbatu-batu dan mencari kerang. Di pantai BNO yang berlumpur itu memang banyak kerang. Seharian aku dan rakan-rakan mencari kerang. Bila balik ke rumah pada sebelah petangnya, ibubapaku sungguh marah kepada aku. Jenuh aku menerima leteran mereka.

Begitulah di antara cebisan memori zaman kanak-kanakku di kampung. Berbasikal sejauh 10 kilometer sudah menjadi lumrah bagi kami. Selain ke pantai mencari kerang, selalunya aku dan rakan-rakan sekampung atau sepersekolahan akan ke kampung-kampung jiran seperti Kampung Jawa, Sungai Ayer Tawar dan Parit Baharu untuk berlawan bola sepak. 

No comments: