Monday, October 6, 2008

Beraya ke Ipoh

'Clock Tower' Kampar


Petang semalam selepas solat Asar aku dan dua orang birasku memandu kereta masing-masing membawa keluarga masing-masing dan kedua-dua ibubapa mertua kami ke Ipoh iaitu ke rumah makcik isteriku iaitu adik perempuan bapa mertuaku. Dari Simpang 5, kami memandu melalui Sungai Besar, Sabak Bernam, Teluk Intan, Langkap, Mambang Di Awan, Kampar, dan Gopeng. 

Ketika melalui bandar Kampar, anak perempuanku telah mengambil gambar 'clock tower'. Kalau anda perasan nama bandar ini sama dengan nama etnikku. Menurut arwah bapaku, nama bandar ini adalah bersempena dengan nama etnikku yang di antara terawal menghuninya. Ramai orang-orang Kampar yang telah berniaga dan membuka kedai di sini. Cerita arwah ayahku, Haji Abdul Latif yang lahir sebelum 1920 dan banyak mengetahui sejarah-sejarah negara ini, memang boleh diterima pakai. Di antara faktor-faktornya, beliau merupakan seorang yang sangat kuat ingatan, suka membaca dan banyak bergaul dengan orang-orang lama. Di samping itu, beliau juga telah banyak merantau dan berjalan ke pelusok negara.

Beliau bersekolah rendah di Teluk Intan di awal tahun 1930an. Menurutnya, beliau pertama kali datang ke Malaysia dari Kuok, Bangkinang di Sumatera pada hari kelahiran ibuku yang juga merupakan sepupunya. Tetapi malangnya aku tiada maklumat tentang nama sekolah tersebut. Kemudian beliau menuntut di Gunung Semanggul, Ehya Al Sharif, dan Ustaz Abu Bakar Bakir merupakan salah seorang tok gurunya. Dari kajian dan telahanku berdasarkan maklumat-maklumat yang ku ketahui, beliau dan beberapa rakan Kampar yang lain seperti Engku Rahim merupakan di antara murid-murid terawal di situ.   

No comments: