Untuk makluman kepada yg tidak tahu apa makna BEROLEK itu, ia bermaksud masjlis resepsi perkahwinan atau "kondangan" dalam bahasa etnik Kampar.
GiLoCatur, isteri dan anak tunggal perempuan, Anis, telah berkesempatan untuk menghadiri majlis OLEK anak kenalan dan saudara kami yg diadakan di sebuah dewan di Bandar Sungai Besar.
Satu pengalaman unik dan berharga buat Anis kerana menghadiri majlis perkahwinan masyarakat Kampar yang ada dihidangkan lauk tradisi dan unik etnik iaitu OMPOK (seperti gambar di bawah). Sebenarnya, lauk Ompok ini boleh dimasak dengan beberapa jenis ikan. Salah satu ikan yang biasa GiLoCatur makan samada dari masakan emak atau arwah uwo Fatimah dulu adalah ikan kembung. Waktu GiLoCatur kecil dahulu, harga ikan kembung sangat murah. Sekati harganya tak sampai lima ringgit. Ya, zaman dulu guna kati bukan kilogram. Satu kati bersamaan lebih kurang 600 gram.
GiLoCatur pernah diamanahkan untuk beli ikan kembung di pekan sehari di Sungai Ayer Tawar (hari Selasa) atau di pekan sehari Parit Baru (hari Khamis). Agak sedih juga kerana tiada pekan sehari di kampung GiLoCatur iaitu Kg Sungai Tengar. GiLoCatur akan menaiki basikal kerana ketika itu masih bersekolah menengah dan belum tahu menunggang motosikal.
Di majlis kenduri kendara orang-orang Kampar di zaman dahulu kala malah ketika majlis perkahwinan GiLoCatur dan isteri di pertengahan tahun 1990an, masih ada lauk ompok yang dimasak oleh pakarnya.
Yang menariknya, ketika di majlis olek ini GiLoCatur & isteri dapat bertemu dan bergambar dengan salah seorang yang masak ompok di majlis kami dahulu iaitu Mak Leha. Ada beberapa orang pakar masak Ompok ketika kenduri kendara masyarakat Kampar di tahun2 1970an, 1980an dan 1990an.
Di antara yang GiLoCatur ingat adalah allahyarhamah Ochiok Kado (suku Chaniago) dan allahyarhamah Uwo Suni. Mak Leha dan arwah kakaknya, Rahmah, adalah antara jurumasak Ompok di majlis berolek (kenduri kendara) generasi berikutnya.
Majoriti perempuan Kampar di zaman dahulu memang pandai masak lauk Ompok. Salah satu faktor utamanya adalah mereka adalah suri rumah sepenuh masa. Generasi isteri dan adik perempuan GiLoCatur masih boleh dan pandai masak lauk tersebut walaupun mereka isteri yang bekerja. Tetapi anak2 mereka mungkin tidak tahu dan mahir kerana peredaran zaman di mana pelbagai makanan moden khususnya dari luar negara begitu banyak di pasaran.
Kini Mak Leha yang telah berusia 80 tahun lebih, adalah salah seorang warga veteran dan tertua Kampar di Malaysia selain bonda GiLoCatur yang tahun ini berusia 95 tahun.
Kenapa GiLoCatur panggil Mak Leha bukan Uwo Leha?
Sebenarnya GiLoCatur keliru dari segi gelaran. Kalau mengikut adat tradisi Kampar, Mak Leha adik beradik adalah pangkat anak saudara kepada arwah ayah GiLoCatur. Mereka memanngil arwah ayah dengan panggilan Pak Ngah, "Mamak Ongah" to be exact.
Begitu mereka menjunjung adat tradisi, kakak Mak Leha memanggil "Makcik" kepada ibu GiLoCatur sehingga akhir hayatnya walaupun mereka berbisan. GiLoCatur dan generasi sebaya memang tidak dapat untuk mempertahankan tradisi Kampar. Banyak faktor2nya. Walaupun isteri GiLoCatur juga seorang anak jati Kampar, tetapi kami tidak mengajar ketiga anak2 berbahasa Kampar dan adat tradisinya. Mungkin ada sedikit sahaja yang mereka pelajari.
GiLoCatur berharap agar serba sedikit Anis, anak tunggal perempuan GiLoCatur tahu dan belajar serba sedikit adat tradisi masyarakat Kampar bila bertemu dan bersembang dengan sanak saudara dan kerabat Kampar tidak kira dekat atau jauh.
Keterangan Gambar:
 |
Lauk tradisi masyarakat Kampar, OMPOK |
Foto 1: Lauk Ompok
Foto 2: Anis bersama ibu, nenek (uwo) dan dua orang nenek saudara (adik2 emak mertua GiLoCatur) dan ibu bapa pengantin. Sebagai info untuk anak2 GiLoCatur, ibu bapa pengantin adalah saudara dan kenalan rapat di kedua-dua belah pihak ibu bapa mereka. Ibu pengantin adalah kakak ipar abang GiLoCatur.
Foto 3: GiLoCatur dan isteri bersama Mak Leha dan Azizol (baju merah). Mak Leha adalah ibu saudara (ie makcik) kepada emak pengantin. Manakala Azizol pula adalah anak menantu Mak Leha. Selain itu, Azizol adalah jiran GiLoCatur di kampung. Arwah ayah kami adalah dua pupu. (nota: Peningkan? semuanya bersangkut paut)
Foto 4: GiLoCatur bersama mantan GB, Cikgu Sharif kelahiran anak Jawa Malaysia. Isterinya adalah makcik isteri GiLoCatur.
Mengapa GiLoCatur berkongsi info di FB ini? Ini adalah satu kaedah pendigitalan foto-foto dan perkongsian salsilah keluarga. Di zaman globalisasi, maklumat2 sejarah dan hubungan kekeluargaan boleh disimpan untuk generasi mendatang. Setelah dewasa, GiLoCatur berasa ralat kerana banyak maklumat2 yang GiLoCatur tidak tahu. Generasi lama termasuk kedua ibu bapa GiLoCatur banyak menyimpan rahsia atau maklumat, bagi GiLoCatur, dek kerana mereka telah melalui zaman penjajahan dan darurat 1948-1960.
Ada sedikit info yang dikongsi seperti kesusahan ketika zaman penjajahan Jepun dan darurat oleh arwah ayah dan emak. Emak dan nenek GiLoCatur pernah ikut arwah ayah mengopek buah kelapa di kebun di daerah Sabak Bernam demi kehidupan. Mereka menanam ubi kayu sebagai pengganti nasi dan pelbagai tanaman dan sayuran lain. Ketika itu emak baru sahaja bernikah dengan arwah ayah. Usianya baru belasan tahun. Manakala ibunya berstatus janda setelah kematian suaminya dan berusia awal 30an.
Untuk info anak2 GiLoCatur, usia perkahwinan uwo dan atuok sebelah ayah mereka adalah hampir 50 tahun. Manakala, usia perkahwinan uwo dan atuok sebelah ibu mereka lebih 50 tahun.
Di zaman darurat pula, arwah ayah berulang alik antara Teluk Intan (Teluk Anson ketika itu) dan Singapura menaiki keretapi. Apa tujuannya? Arwah ayah membeli barang2an seperti pakaian bundle dan apa2 jua yang boleh dijual di kedai runcitnya.
Ketika itu arwah ayah berkedai dan tinggal bersama adik lelakinya, arwah Pak Aji Amran dan isteri beliau arwah Mak Aji Saadiah. Mereka semua adalah bersaudara dekat dek perancangan dan percaturan nenda mereka, Moyang Tando.
Bukan itu sahaja. Malah ayah mereka juga, Tok Hasan Basri, pernah tinggal di rumah kedai kayu tersebut. GiLoCatur baru sahaja tahu kebelakangan ini apabila emak bercerita. Barulah GiLoCatur faham kenapa Tok Basri membeli tanah di Jalan Sultan sekitar tahun 1920an dan membina rumah kecil yang akhirnya menjadi tempat kelahiran GiLoCatur dan semua adik beradik.
Walaupun GiLoCatur bukan ahli Sejarah bertauliah, tetapi GiLoCatur perlu menyambung dot dot (pelbagai data dan maklumat secara lisan dan dokumen, jika ada, dari pelbagai sumber) dan membuat TIMELINE untuk memahami dan mengetahui sejarah keluarga dan leluhur.
GiLoCatur amat berharap Fikri, Anis & Fahim akan baca dan tahu tentang datuk nenek moyang mereka dari FB post seperti ini, agar tahu jati diri mereka.
#coachgilocatur
#keluargasalehazizah
#fikrianisfahim
#wargajatiselangor
#leluhurdarikuok