Semalam
5 Mei 2009. Ada beberapa perkara yang ingin GiLoCatur perkatakan:
- Tarikh 5 hb Mei merupakan hari sambutan ulangtahun kelahiran anak perempuan GiLoCatur. Beliau genap 11 tahun. Sungguh pantas masa berlalu. Sebagai menyambutnya, GiLoCatur sekeluarga tanpa anak sulung yang sedang berada di asrama pergi ke Secret Recipe malam tadi. Beli kek sepotong untuk beliau dan sepotong lagi untuk si anak bongsu. GiLoCatur tak berapa nak makan kek sangat. Orang rumah pun setakat tumpang makan sahaja. Anis baru saja menyertai Kejohanan Catur Terbuka Selangor edisi ke 36 dari 30 April hingga 3 Mei. Beliau telah menang 2 dan seri 2, yang selebihnya kalah. Kejohanan tahun ini agak tough berbanding tahun lepas yang merupakan kali pertama anak-anak GiLoCatur sertai. Ini bermakna tahun ini merupakan kali kedua.
- Sedangkan anak sulung GiLoCatur telah seri 5 permainan. Boleh dikatakan ke semua lawannya memiliki rating yang lebih tinggi. Memang memenatkan bagi mereka untuk bermain 9 game kawalan masa 90 minit dalam masa 4 hari. Ada satu hari yang perlu bermain 3 game. GiLoCatur yang tidak sertai pun terasa amat penat menghantar, menjemput dan memantau mereka. Sehinggakan tidak berkesempatan untuk membuat coverage kejohanan tersebut. Ini merupakan satu pengorbanan bagi mereka untuk berjaya dalam sukan catur. GiLoCatur bercadang untuk menjadikan kejohanan ini sebagai satu acara tahunan bagi mereka.
- Pagi semalam juga ketika GiLoCatur memandu ke SDMC untuk membuat medical check up, GiLoCatur terima SMS dari abang di kampung yang memberitahu tentang kematian seorang ulama di kampung. Allahyarham yang kami kenali sebagai Kiyai Haji Ahmad Shuhud merupakan seorang yang sangat tinggi ilmu pengetahuan agama dan ilmu falakh. Beliau yang pernah menuntut ilmu agama di Mekah berbelas-belas tahun ketika usia mudanya merupakan imam di kampung GiLoCatur dan arwah ayah GiLoCatur merupakan khatib. Setiap malam Jumaat kami sekampung akan membaca surah Yasin secara berjamaah di rumah beliau setelah bersolat di surau berhampiran rumahnya. Satu perkara yang paling GiLoCatur respect tentang beliau yang sangat wara' ialah ketinggian ilmu falakhnya. Kerap kami sekampung yang mula berpuasa dan menyambut hari raya tidak sama dengan yang lain. Teringat GiLoCatur, di penghujung tahun 1980an, samada pada 1986 atau 1987 jika tidak silap, kami telah menyambut hariraya awal. Memandangkan seluruh negara masih berpuasa, kami tidak membuat sebarang sambutan lagi. Di waktu petang di sekitar pukul 6 petang seperti biasa bila di kampung GiLoCatur akan melepak-lepak di tepi jalan raya dengan rakan-rakan sekampung. Apa yang sangat menakjubkan yang diperlihatkan kepada kami ialah anak bulan telah kelihatan dengan jelas. Ini sudah jelas 1 Syawal telah tiba. Al-Fatihah buat allahyarham yang juga nerupakan salah seorang tok guru tempat GiLoCatur menuntut ilmu sewaktu kecil dahulu di kampung.
No comments:
Post a Comment